Pada Hari Memorial, saya terkenangkan para bekas askar semasa Perang Dunia Kedua, terutamanya bapa dan beberapa bapa saudara saya. Mereka berjaya pulang ke tanah air, tetapi ratusan ribu keluarga kehilangan orang tersayang demi negara. Tetapi, apabila ditanya, bapa saya dan kebanyakan bekas askar pada era tersebut menyatakan bahawa mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk melindungi orang tersayang serta berdiri teguh pada prinsip yang dianggap betul.
Apabila seseorang terkorban semasa mempertahankan negara, Yohanes 15:13—“Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka”—akan dibaca semasa upacara pengebumian untuk mengenang pengorbanan mereka. Tetapi apakah situasi di sebalik ayat ini?
Yesus mengatakan kata-kata ini kepada para pengikut-Nya semasa Perjamuan Tuhan, sebelum Dia mati. Namun, Yudas, salah seorang pengikut-Nya sudah pun mengkhianati-Nya. Kristus mengetahui kesemua ini, tetapi Dia masih memilih untuk mengorbankan nyawa-Nya demi rakan-rakan serta musuh-Nya.
Yesus sanggup dan bersedia untuk mati demi orang yang percaya kepada-Nya, malah demi mereka yang masih memusuhi-Nya (Roma 5:10). Sementara itu, Dia meminta para pengikut-Nya (dulu dan sekarang) “saling mengasihi” sebagaimana Dia mengasihi mereka (Yohanes 15:12). Kasih-Nya yang besar mendorong kita mengasihi orang lain dengan pengorbanan, baik sahabat mahupun musuh.
ILHAM
Kitab Yohanes mempunyai rangka yang jelas. Antara prolog (1:1–18) dan epilog (fasal 21), Yohanes memfokuskan pelayanan Yesus dalam kata-kata dan perbuatan-Nya kepada orang ramai (1:19–12:50). Dalam 5 fasal yang dikenali sebagai Khutbah Bilik Besar di Tingkat Atas (Upper Room Discourse) (fasal 13–17), Yesus menujukannya kepada para pengikut-Nya secara khusus. Fasal-fasal ini mengisi kira-kira 20 peratus kitab Yohanes dan berlaku untuk tempoh masa yang sangat singkat. Dalam bahagian ini, kita menemukan kebenaran teras bagi orang yang percaya kepada Yesus: pengajaran tentang sikap seorang hamba dan kerendahan hati (fasal 13); Yesus sebagai jalan untuk mengenal Bapa yang di syurga (14:6); janji, pelayanan, dan pekerjaan Roh Tuhan (14:15–31, 16:4–15); perintah untuk mengasihi (13:31–35); dan keperluan untuk bersatu dalam kasih Bapa (15:9–17). Dalam fasal 18–20, Yohanes memfokuskan kematian dan kebangkitan Yesus.Untuk gambaran visual keseluruhan buku Yohanes, lawati bit.ly/2MqOeOR (bahasa Inggeris).