Dalam sebuah filem baru-baru ini, seorang yang memanggil dirinya “genius” menengking di hadapan kamera mengenai dunia yang “menakutkan, penuh rasuah, dungu dan papa kedana”. Dia mengatakan bahawa tuhan tidak wujud dan kehidupan adalah tidak bermakna. Walaupun pemikiran sedemikian adalah biasa dalam kebanyakan filem moden, namun apa yang berlaku seterusnya adalah menarik. Akhirnya, watak utama berpaling kepada penonton dan menggesa semua orang melakukan apa sahaja demi mencari sedikit kebahagiaan. Baginya, itu termasuklah meninggalkan pegangan moral yang tradisional.

Tetapi adakah “melakukan apa sahaja” boleh berhasil? Ketika berhadapan dengan kekecewaannya sendiri terhadap kehidupan, penulis kitab Pengkhutbah dalam Perjanjian Lama telah mencuba untuk mencari kebahagiaan melalui keseronokan (Pengkhutbah 2:1,10), melaksanakan projek-projek besar (ayat 4-6), mengejar kekayaan (ayat 7-9) dan persoalan falsafah (ayat 12-16) pada suatu ketika dahulu. Apakah kesimpulannya? “Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja” (ayat 17). Tiada satu pun perkara ini boleh menghalang kematian, bencana atau ketidakadilan (5:13-17).

Hanya satu perkara yang dapat membawa penulis kitab Pengkhutbah keluar daripada kekecewaan. Di sebalik ujian yang kita hadapi dalam kehidupan, kita boleh menemukan kepuasan apabila Tuhan menyertai kita dalam kehidupan dan pekerjaan: “Siapakah yang dapat makan dan menikmati hidup tanpa Allah?” (2:25). Ada kalanya kehidupan kelihatan tidak bermakna, tetapi ‘ingatlah Pencipta kamu” (12:1). Jangan terlalu melelahkan diri anda dengan cuba mencari jawapan untuk semua persoalan hidup, tetapi “hormatilah Allah dan taatilah segala perintah-Nya” (12:13).

Tanpa Tuhan sebagai pusat hidup kita, segala keseronokan dan kesedihan hidup hanya akan membawa kesia-siaan.