Kebanyakan rakan sekerja Mike tidak tahu banyak tentang kekristianan, dan tidak ambil peduli. Tetapi mereka tahu bahawa Mike mempedulikan hal ini. Pada satu hari ketika menjelang Hari Easter, seorang rakan sekerjanya berkata bahawa mereka kedengaran Hari Easter berkaitan dengan Paska dan tertanya-tanya apa kaitan tersebut. “Helo, Mike!” katanya. “Kamu tahu tentang Tuhan, bukan? Apakah itu Paska?”
Maka Mike menjelaskan bagaimana Tuhan telah membawa orang Israel keluar daripada perhambaan di Mesir. Dia memberitahu mereka tentang sepuluh wabak, termasuk kematian anak sulung di setiap rumah. Dia menjelaskan bagaimana malaikat maut “melalui” setiap rumah yang memiliki darah anak domba yang dikorbankan pada tiang dan ambang pintu rumah tersebut. Kemudian dia menjelaskan bagaimana Yesus dikorbankan pada musim Paska sebagai korban Anak Domba yang sekali dan terakhir. Tiba-tiba Mike menyedari, Saya sedang memberi kesaksian!
Petrus, iaitu pengikut Yesus, memberikan nasihat kepada jemaah dalam masyarakat yang tidak mengenal Tuhan. Dia berkata, “Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki” (1 Petrus 3:15).
Oleh sebab Mike telah bersikap terbuka tentang imannya, maka dia mendapat peluang untuk berkongsi iman itu secara semula jadi, serta dapat melakukannya dengan “lemah lembut dan hormat” (ayat 16).
Kita juga boleh berbuat demikian. Dengan pertolongan Roh Kudus, kita dapat menjelaskan dengan istilah yang mudah difahami tentang apa yang paling penting dalam hidup—hal-hal tentang Tuhan.
ILHAM
Soalan Petrus dalam 1 Petrus 3:13, “Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik?” jelasnya adalah retorik. Dia tahu adanya masa apabila kita akan dicederakan kerana melakukan apa yang betul. Rasul ini mengalaminya sendiri; dia telah dipenjarakan dan dipukul sejak bermulanya gereja awal (Kisah Rasul-Rasul 5:40; 12:3-4). Sebenarnya, Petrus akan dibunuh akhirnya kerana melayani Kristus (Yohanes 21:19; 2 Petrus 1:13-14).Jadi dorongan Petrus bukan hanya bercakap seolah-olah serba tahu. Sebenarnya, dia sendiri yang pernah mengalami penderitaan dan berkata kepada sebuah gereja yang sentiasa terancam, “Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia” (1 Petrus 3:14). Ini juga konteks penderitaan yang Petrus mendesak kita supaya bersedia untuk menjelaskan sebab-sebab kita mengikut Yesus. Memahami hal ini—dan mengingati penderitaan-Nya (ayat 18)—menguatkan tekad kita untuk berkongsi kebenaran Tuhan dalam kasih.