Pada tahun 1970-an, penggunaan pengesan besi cuma dianggap sebagai hobi bagi Peter Welch yang masih pemuda. Namun sejak tahun 1990, dia telah memimpin ramai orang dari seluruh dunia membuat pengembaraan untuk mencari besi. Mereka telah mendapatkan ribuan penemuan—pedang, barang kemas kuno, syiling. Dengan menggunakan “Google Earth”, program komputer yang berdasarkan gambar satelit, mereka memerhatikan bentuk-bentuk dalam landskap tanah ladang di United Kingdom. Satelit akan menunjukkan kedudukan jalan raya, bangunan dan struktur-struktur lain yang mungkin wujud berabad-abad lamanya. Peter berkata, “Dengan ada pandangan dari atas, dunia yang baru ditemukan.”

Umat Tuhan pada zaman Yesaya memerlukan “pandangan dari atas”. Mereka bangga kerana menjadi umat-Nya, namun mereka tidak taat dan tidak mahu berhenti menyembah berhala. Tuhan mempunyai pandangan yang berbeza. Walaupun mereka memberontak, Dia menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Babel. Mengapa? “Perbuatan-Ku ini bagi kepentingan-Ku sendiri, Aku tidak akan … membahagi kemuliaan-Ku dengan sesiapa pun” (Yesaya 48:11). Pandangan Tuhan dari atas adalah kita sepatutnya hidup demi kemuliaan dan tujuan-Nya—bukan demi kita. Perhatian kita harus tertuju kepada-Nya dan rancangan-Nya serta mengarahkan orang lain untuk memuji-Nya.

Apabila pandangan kita dalam hidup ini berasaskan kemuliaan Tuhan, ia membuka dunia yang baru. Hanya Dia yang mengetahui apa yang akan kita ketahui tentang Dia, dan apa yang telah disediakan-Nya bagi kita. Tuhan akan mengajar kita apa yang baik untuk kita dan memimpin kita di jalan yang harus kita tempuh (ayat 17).