Pada suatu tengah malam, Pastor Samuel Baggaga menerima panggilan telefon yang memintanya pergi ke rumah seorang anggota jemaah. Setibanya di tempat itu, dia mendapati rumah jemaah tersebut terbakar. Walaupun bapa keluarga itu sendiri sudah terkena api, dia masih tergegas-gegas masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan salah seorang anaknya dan keluar bersama dengan anak perempuannya yang pengsan. Di kawasan luar bandar Uganda, hospital terletak sejauh 10 km. Tanpa pengangkutan, pastor dan si bapa mula berlari ke hospital dengan anak tersebut. Apabila salah seorang mereka menjadi penat kerana mengangkat gadis yang cedera itu, mereka bergilir mengangkatnya. Bersama-sama mereka menempuh perjalanan yang mencabar itu; akhirnya si bapa dan anak perempuannya telah dirawat dan sembuh sepenuhnya.

Dalam Keluaran 17:8-13, Tuhan merencanakan kemenangan besar yang melibatkan usaha Yosua, yang memimpin tentera untuk berperang; dan Musa, yang mengangkat tangannya sambil memegang tongkat Tuhan. Apabila tangan Musa menjadi penat, Harun dan Hur menolongnya dengan masing-masing mengangkat salah satu tangannya sehingga matahari terbenam, dan musuh dikalahkan.

Kuasa daripada saling bergantung tidak boleh dipandang remeh. Tuhan yang baik membekalkan pertolongan-Nya agar kita boleh saling menolong. Dia memberi kita telinga yang mendengar dan tangan yang menolong, kita juga boleh meluahkan kata-kata yang bijak, menghiburkan dan memperbetulkan orang. Kurnia-kurnia ini dan yang lain diberikan kepada kita agar orang lain boleh menerima pertolongan melalui kita. Bersama-sama kita meraikan kemenangan dan Tuhan dimuliakan!