Ketika John yang menguruskan rumah pelacuran terbesar di London dipenjarakan, dia tidak menyesal dan masih menganggap dirinya orang baik. Sementara di penjara, dia membuat keputusan untuk menghadiri kelas Alkitab kerana kek dan kopi dihidangkan, tetapi dia tersentak oleh kegembiraan para banduan lain. Dia mula menangis semasa lagu pujian pertama dinyanyikan, malah dia menerima sebuah Alkitab pada masa kemudian. Pembacaan dalam kitab Yehezkiel telah mengubah hatinya, dan dia seumpama “dipanah petir”. Dia membaca, “Apabila seorang jahat berhenti berbuat dosa, dan mula berbuat yang adil dan baik … dia tidak akan mati tetapi akan hidup” (Yehezkiel 18:27-28). Firman Tuhan menjadi hidup baginya dan dia menyedari, “Saya bukan orang baik … saya jahat dan saya perlu berubah.” Semasa berdoa dengan pastor, dia berkata, “Saya menemui Yesus Kristus dan Dia mengubah saya.”

Kata-kata ini diucapkan oleh Yehezkiel kepada umat Tuhan semasa mereka berada dalam pembuangan. Walaupun mereka telah berpaling daripada Tuhan, Dia merindukan mereka berpaling daripada dosa mereka dan memiliki fikiran dan hati yang baru (ayat 31). Kata-kata ini menolong John bertaubat daripada dosa dan hidup (ayat 32) apabila dia mengikut Yesus, Peribadi yang memanggil orang yang berdosa supaya mereka bertaubat (Lukas 5:32).

Semoga kita bertaubat apabila mendapat teguran Roh Kudus kerana dosa-dosa kita, supaya kita juga menikmati pengampunan dan kebebasan.