Pada suatu malam, Nehemia menunggang kuda untuk memeriksa kerosakan di kota Yerusalem. Di sekelilingnya adalah tembok yang telah dimusnahkan dan pintu gerbang yang sudah terbakar. Di sesetengah tempat, oleh sebab reruntuhan terlalu banyak, maka sukar bagi kudanya untuk melalui kawasan tersebut. Dengan hiba, dia pun kembali ke rumahnya.

Apabila tiba masanya untuk melaporkan kerosakan kepada pegawai kota, dia mula berkata, “Lihatlah keadaan kita yang sengsara ini” (Nehemia 2:17). Dia juga melaporkan bahawa kota itu hanya tinggal reruntuhan, dan usaha untuk melindungi tembok kota telah menjadi sia-sia.

Akan tetapi dia membuat kenyataan yang menguatkan rakyat yang sedang terganggu: “Kemudian aku menceritakan bagaimana Allah menyertai dan menolong aku.” Kemudian, orang ramai menjawab, “Marilah kita mula membinanya” (ayat 18).

Mereka pun memulakan pembinaan semula.

Dengan beriman dalam Tuhan dan usaha sepenuhnya, walaupun ada tentangan musuh dan kerja yang nampaknya mustahil, orang Yerusalem—di bawah pimpinan Nehemia—membina semula tembok dalam tempoh hanya 52 hari (6:15).

Apabila anda melihat keadaan anda, adakah sesuatu yang kelihatan sukar tetapi anda tahu Tuhan menginginkan anda melakukannya? Dosa yang tidak dapat anda buang? Hubungan renggang yang tidak memuliakan Tuhan? Tugas yang diberikan-Nya kelihatan terlalu sukar?

Mohon pimpinan daripada Tuhan (2:4-5), analisis masalah (ayat 11-15), dan ketahui penglibatan-Nya (ayat 18). Kemudian mulakan pembinaan.