Pada masa dahulu, seorang peladang perlu mempunyai mata yang tajam dan tangan yang kuat untuk memandu traktor supaya dapat membajak tanah dalam baris lurus. Tetapi penglihatan yang paling tajam pun akan menghasilkan baris-baris yang bertindih, dan pada penghujung hari, tangan yang paling kuat juga akan penat. Tetapi sekarang ada autosteer (mesin kemudi automatik)—teknologi berdasarkan sistem kedudukan sejagat (GPS), yang memastikan ketepatan jarak antara baris-baris tanah dalam lingkungan 3 cm apabila menanam, menuai dan menyembur. Ia sangat berkesan dan tidak perlu diusahakan oleh manusia. Bayangkan anda boleh duduk di atas jentera yang begitu besar dan tidak perlu mengendalikan sterling traktor, malah boleh memegang sandwic dalam tangan. Alangkah ajaibnya alat ini yang membolehkan anda dapat bergerak terus ke hadapan.
Anda mungkin teringat akan nama Yosia. Dia dimahkotai sebagai raja sewaktu dia hanya berusia “lapan tahun” (2 Raja-Raja 22:1). Beberapa tahun kemudian, apabila dia berumur pertengahan 20-an, Imam Agung iaitu Hilkia menemukan “kitab Taurat” di Rumah TUHAN (ayat 8). Kemudian kitab Taurat dibaca kepada raja muda, yang mengoyakkan jubahnya dalam dukacita kerana ketidaktaatan moyangnya terhadap Tuhan. Yosia mula melakukan “apa yang menyenangkan hati TUHAN” (ayat 2). Kitab itu menjadi panduan untuk membimbing orang ramai supaya mereka tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri. Perintah Tuhan tersedia untuk membuat segalanya berada di landasan yang lurus.
Dengan mengizinkan firman Tuhan memimpin kita setiap hari, ini akan memastikan kita boleh mengetahui Tuhan dan kehendak-Nya dengan sempurna dalam kehidupan. Alkitab ialah panduan yang sangat ajaib, jika kita mengikutnya, kita akan terus mara ke hadapan.