Seorang ahli falsafah pada abad ke-17 yang bernama Thomas Hobbes, terkenal kerana penulisannya yang mengatakan bahawa kehidupan manusia secara semula jadi adalah “sepi, miskin, jahat, kasar, dan singkat.” Hobbes berhujah bahawa naluri kita condong ke arah perang dalam usaha untuk menguasai orang lain; justeru kerajaan perlu ditubuhkan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan.
Gambaran yang suram tentang kemanusiaan kedengaran seperti situasi yang dihuraikan oleh Yesus ketika Dia berkata, “Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak” (Yohanes 10:8). Tetapi Yesus mengurniakan harapan di tengah-tengah kekecewaan kita. “Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan merosak,” kemudian berita baik ini: “Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan” (ayat 10).
Mazmur 23 melukiskan gambaran yang menyegarkan tentang kehidupan yang diberikan oleh Gembala kita. Dalam Dia, kita “tidak kekurangan” (ayat 1) dan diberikan “kekuatan baru” (ayat 3). Dia memimpin kita di jalan menurut kehendak-Nya yang sempurna, supaya pada masa kita berhadapan dengan kesukaran, kita tidak akan takut; kerana Dia hadir untuk menghibur kita (ayat 3-4). Dia memberi kita kemenangan ke atas kesukaran dan melimpahi kita dengan berkat (ayat 5). Kebaikan dan kasih akan mengiringi kita setiap hari, dan kita ada keistimewaan untuk menikmati hadirat-Nya selama-lamanya (ayat 6).
Semoga kita menjawab panggilan Gembala serta menjalani kehidupan yang kelimpahan, yang Dia datang untuk memberikannya kepada kita.