Lela kini sakit tenat kerana penyakit kanser. Suaminya Timothy, tidak dapat memahami mengapa Tuhan yang penuh kasih mengizinkan isterinya menderita. Lela telah melayani-Nya dengan setia sebagai guru Alkitab dan pembimbing kepada banyak orang. “Mengapakah Engkau mengizinkan ini berlaku?” dia bertanya sambil menangis. Namun Timothy terus setia dalam perjalanannya dengan Tuhan.

“Kalau begitu, mengapakah kamu masih percaya kepada Tuhan?” saya bertanya dengan jujur. “Apakah yang membuat kamu tidak berpaling daripada-Nya?”

“Kerana apa yang telah berlaku sebelum ini,” jawab Timothy. Walaupun dia tidak dapat “melihat” Tuhan sekarang, dia ingat akan masa ketika Tuhan telah menolong dan melindungi dia. Ada tanda-tanda menunjukkan bahawa Tuhan masih wujud untuk menjaga keluarganya. “Saya tahu Tuhan yang saya percaya akan menjawab dengan cara-Nya sendiri,” jawabnya.

Kata-kata Timothy memperlihatkan kepercayaan Yesaya dalam Yesaya 8:17. Walaupun dia tidak dapat merasakan hadirat Tuhan semasa umatnya sedang menghadapi serangan musuh, dia tetap “percaya dan berharap kepada-Nya.” Dia percaya kepada Tuhan kerana tanda-tanda hadirat-Nya yang berterusan (ayat 18).

Ada masanya kita mungkin berasa bahawa Tuhan seakan-akan tidak menyertai kita dalam kesusahan kita. Itulah masanya kita lebih perlu bergantung pada apa yang kita dapat lihat melalui pekerjaan-Nya dalam kehidupan kita, pada masa lalu dan masa kini. Perkara-perkara sedemikian menjadi peringatan yang jelas daripada Tuhan yang tidak kelihatan—Tuhan selalu menyertai kita dan akan menjawab menurut masa dan cara-Nya sendiri.