Kelsey berjalan di lorong sempit dalam kapal terbang bersama dengan mendukung anak perempuannya, Lucy yang berumur 11 bulan dengan mesin oksigennya. Mereka sedang dalam perjalanan untuk mendapat rawatan bagi penyakit paru-paru kronik bayinya. Selepas mereka duduk bersama di tempat duduk, seorang pramugari datang kepada Kelsey, berkata bahawa seorang penumpang di tempat duduk kelas pertama mahu menukar tempat duduk dengannya. Dengan menitiskan air mata yang penuh kesyukuran, Kelsey berjalan menuju ke kerusi yang lebih besar di kelas pertama, sementara orang yang tidak dikenal dan baik hati itu pula pergi ke tempat duduk Kelsey.

Tindakan orang yang baik hati itu memperlihatkan kemurahan hati yang digalakkan oleh rasul Paulus dalam suratnya kepada Timotius. Paulus memberitahu Timotius untuk memberi perintah kepada orang di bawah penggembalaannya supaya “berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi” (1 Timotius 6:18). Paulus berkata bahawa kita mungkin tergoda untuk menjadi angkuh dan meletakkan harapan kita pada kekayaan dunia. Namun dia menggalakkan kita menjalani kehidupan yang murah hati dan melayani orang lain, menjadi “kaya” dalam perbuatan baik, seperti lelaki yang memberikan tempat duduk kelas pertamanya kepada Kelsey.

Baik kita berada dalam kecukupan mahupun dalam kekurangan, kita semua dapat mengalami kelimpahan hidup dengan rela berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain secara murah hati. Apabila kita melakukan hal ini, Paulus berkata bahawa kita akan “mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati” (ayat 19).