Pandangan yang kekal, itulah yang kawan saya Madeline doakan untuk anak-anak dan cucu-cucunya. Keluarganya telah melalui musim penuh gelora yang berakhir dengan kematian anak perempuannya. Sementara keluarganya berduka atas kehilangan yang mengerikan ini, Madeline berharap agar mereka akan kurang memfokuskan kesedihan itu—terperangkap oleh kesakitan ini. Dia berdoa agar keluarganya boleh menjadi lebih berpandangan jauh, berharap penuh kepada Tuhan yang pengasih.
Rasul Paulus dan rakan sepelayanannya telah mengalami penderitaan yang besar kerana penganiaya dan orang percaya yang cuba memburukkan mereka. Namun mereka mengarahkan mata mereka kepada hal-hal yang kekal. Paulus mengakui dengan berani bahawa “kami menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan, dan bukan kepada apa yang kelihatan. Apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya” (2 Korintus 4:18).
Walaupun mereka melakukan kehendak Tuhan, mereka hidup dalam keadaan “dianiaya”, “kebingungan” dan “orang memusuhi” mereka (ayat 8-9). Bukankah Tuhan seharusnya menyelamatkan mereka daripada kesusahan ini? Namun Paulus membina harapannya pada “kemuliaan yang luar biasa dan kekal” yang mengatasi kesusahan sementara (ayat 17), bukannya berasa kecewa. Dia tahu bahawa kuasa Tuhan sedang bekerja melaluinya dan mempunyai keyakinan penuh bahawa “Allah yang sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, akan membangkitkan kami juga dengan Yesus” (ayat 14).
Apabila dunia di sekeliling kita terasa goyah, semoga kita mengalihkan mata kita terhadap Tuhan—gunung Batu yang kekal, yang tidak boleh dihancurkan.