Terkejut adalah satu-satunya perkataan yang dapat menggambarkan respons orang ramai semasa upacara konvokesyen di Kolej Morehouse di Atlanta, Georgia pada tahun 2019. Penceramah mengumumkan bahawa dia dan keluarganya akan menderma beberapa juta dolar untuk melangsaikan hutang pelajaran bagi semua graduan. Seorang pelajar dengan pinjaman sejumlah $100,000 juga salah seorang graduan yang menyatakan sukacitanya dengan air mata dan teriakan.
Kebanyakan kita pernah mengalami hutang—misalnya perlu membayar hutang untuk rumah, kereta, pendidikan, perubatan dan lain-lain. Tetapi kita juga berasa lega apabila bil kita dicap dengan perkataan “Bayar”.
Selepas mengisytiharkan Yesus sebagai “saksi yang setia”, “yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian” dan “pemerintah raja-raja dunia”, Yohanes menghormati dan memuji pekerjaan-Nya yang menghapus hutang kita: “Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita” (Wahyu 1:5). Kenyataan ini mudah difahami tetapi maksudnya amat dalam. Berita yang lebih baik daripada pengumuman tentang penjelasan semua hutang pelajaran para graduan di Kolej Morehouse adalah pembebasan jiwa kita melalui kematian Yesus (penumpahan darah-Nya pada kayu salib), yang telah membebaskan kita daripada hukuman yang patut kita terima akibat sikap, keinginan dan perbuatan jahat kita. Oleh sebab hutang itu telah dilunaskan, maka mereka yang percaya kepada Yesus diampuni dan menjadi umat Pemerintahan Tuhan (ayat 6). Berita baik ini ialah berita yang terbaik!