“Semua orang di bahagian kiri, buat 3 dayung yang kuat ke hadapan!” teriak jurulatih rakit arus deras kami. Mereka yang di kiri berkayuh dan menarik rakit kami dari pusaran air yang bergelora. Selama beberapa jam kami telah belajar tentang kepentingan mendengar arahan jurulatih kami. Suaranya yang tenang memampukan seramai 6 orang yang kurang berpengalaman bekerjasama membawa rakit di air yang bergelora dengan selamat.

Hidup ini memang mempunyai cukup banyak jeram, bukan? Ada saatnya kita seolah-olah belayar dalam air yang tenang. Tiba-tiba kita harus berdayung seperti giat sekali untuk mengelakkan sedutan air pusaran. Detik-detik itu membuat kita menyedari bahawa kita memerlukan seorang pembimbing yang mahir, suara yang boleh dipercayai untuk memimpin kita pada musim gelora kehidupan.

Dalam Mazmur 32, Tuhan berjanji untuk menjadi suara itu: “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti” (ayat 8). Kita juga melihat bahawa dengan mengakui dosa-dosa kita (ayat 5), dan berdoa untuk mencari Dia (ayat 6), ini membolehkan kita mendengarkan suara-Nya. Namun, saya mendapat penghiburan dalam kenyataan bahawa Tuhan berjanji, “Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati” (ayat 8). Peringatan tentang pimpinan-Nya mengalir melalui kasih-Nya. Pada hujung Mazmur ini, pemazmur menyimpulkan bahawa, “orang yang berharap kepada TUHAN dilindungi oleh kasih-Nya” (ayat 10). Apabila kita mempercayai-Nya, kita boleh tenang dalam janji-Nya bahawa Dia akan memimpin kita melalui saat-saat hidup kita yang paling sukar.