Ahli psikiatri Robert Coles, pernah memperhatikan satu corak yang berlaku ke atas mereka yang kelelahan kerana menolong orang lain. Tanda amaran pertama ialah kelesuan. Kemudian muncul sikap sinis yang mempersoalkan keadaan yang sedang berubah dengan baik, diikuti dengan kepahitan, kekecewaan, kemurungan, dan akhirnya kehabisan tenaga.

Selepas menulis sebuah buku tentang pulih daripada impian yang terhancur, saya menjadi semakin sibuk untuk memberi ceramah sempena konferensi. Pengalaman saya yang menolong orang lain menemukan harapan selepas melalui kekecewaan memang mendatangkan kepuasan, namun ada akibatnya juga. Pada suatu hari, semasa saya hendak naik ke pentas, saya nyaris pengsan. Saya tidak mendapat tidur yang mencukupi, masa percutian pun tidak dapat memulihkan diri saya daripada rasa lesu, dan apabila memikirkan bahawa saya harus mendengar masalah orang, ini menambahkan lagi rasa ketakutan saya. Saya sedang mengikuti corak tindakan yang dikemukakan oleh Coles.

Firman Tuhan memberikan dua strategi untuk melawan kelesuan. Dalam Yesaya 40, jiwa yang lesu diperbaharui apabila kita berharap kepada Tuhan (Yesaya 40:29-31). Saya perlu berehat dalam Tuhan, mempercayai Dia akan bekerja dalam hidup saya, bukannya terus bergantung pada kekuatan sendiri yang semakin lemah. Mazmur 103 berkata bahawa Tuhan memperbaharui jiwa kita dengan perkara-perkara yang baik (ayat 5). Walaupun hal ini termasuk pengampunan dan penebusan (ayat 3-4), sukacita dan keseronokan juga datang daripada-Nya. Semasa saya menyusun semula jadual saya dengan memasukkan lebih banyak masa berdoa, istirahat, dan hobi seperti mengambil gambar, kesihatan jiwa saya mula terpulih.

Kelesuan bermula dengan kelelahan. Mari kita mencegahnya supaya ia tidak berlarutan. Kita dapat melayani orang lain dengan lebih baik apabila kehidupan kita disertakan penyembahan dan istirahat.