Saya sangat suka mengumpulkan barang. Sewaktu kanak-kanak, saya mengumpul setem, kad besbol dan buku komik. Sekarang, sebagai seorang bapa, saya melihat anak-anak saya mempunyai hobi yang sama. Ada kalanya saya tertanya-tanya, Kamu betul-betul perlu patung beruang lagi?
Sudah tentu, ini bukan soal keperluan. Ia adalah tentang soal daya tarikan terhadap sesuatu yang baru. Atau ada kalanya kita tertarik kepada sesuatu yang lama, atau jarang dijumpai. Apa pun yang menangkap imaginasi kita, kita digoda untuk mempercayai bahawa jika kita mendapat “X”, maka kehidupan kita akan menjadi lebih baik. Kita akan berasa lebih gembira dan berpuas hati.
Namun masalahnya, hal-hal itu tidak memberikan kepuasan. Kenapa? Kerana Tuhan menciptakan kita untuk dipenuhi oleh Dia, bukan melalui benda-benda di dunia ini.
Ini bukanlah sesuatu yang baru. Kitab Amsal membandingkan dua gaya hidup: hidup yang mengejar kekayaan berlawanan dengan hidup yang berdasarkan kasih Tuhan dan bersifat murah hati. Dalam buku The Message, Eugene Peterson memparafrasakan Amsal 11:28 sedemikian: “Hidup yang mengutamakan kebendaan ialah hidup yang mati, seperti tunggul pokok; hidup yang dibentuk menurut rupa Tuhan ialah pokok yang bertumbuh subur.”
Inilah gambaran yang menarik! Dua gaya hidup: satu bertumbuh subur dan berbuah, satu lagi berjiwa kosong dan mati. Dunia menekankan bahawa kelimpahan dalam kebendaan bermaksud “kehidupan yang baik.” Sebaliknya, Tuhan menjemput kita berakar di dalam-Nya, mengalami kebaikan-Nya, serta bertumbuh dan berbuah. Apabila kita dibentuk oleh hubungan kita dengan Dia, Tuhan akan membentuk hati dan keinginan kita, serta mengubah kita secara dalaman dan luaran.