Di luar tingkap dapur saya, seekor burung robin sedang membuat sarang di bawah bumbung rumah. Saya suka melihat burung itu menyisip rumput di tempat yang selamat dan kemudian mengerami telur-telurnya. Setiap pagi saya akan memeriksa perkembangannya; tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Telur burung robin mengambil masa selama 2 minggu untuk menetas.

Saya bukan orang yang sabar. Saya tidak suka untuk menunggu, terutamanya dalam hal doa. Saya dan suami saya menunggu selama hampir 5 tahun untuk mendapatkan anak angkat kami yang pertama. Berpuluh-puluh tahun yang lalu, penulis Catherine Marshall telah menulis, “Doa, ibarat telur, tidak menetas sejurus ia dikeluarkan.”

Nabi Habakuk juga mengalami pergelutan ketika menantikan jawapan doa. Dia berasa geram kerana kesenyapan Tuhan terhadap layanan kejam kerajaan Babel ke atas Kerajaan Selatan Yehuda, Habakuk membuat keputusan untuk “naik ke menara pengawal, lalu menunggu apa yang akan difirmankan TUHAN kepadaku” (Habakuk 2:1). Tuhan menjawab Habakuk bahawa dia harus menunggu untuk “masa itu” (ayat 3) dan mengarahkan Habakuk menulis “dengan jelas apa yang [dinyatakan-Nya]” supaya firman Tuhan dapat disebarkan sesudah ia disampaikan (ayat 2).

Apa yang tidak disebutkan oleh Tuhan tentang “masa itu”, adalah kota Babel akan ditawan selepas 60 tahun. Ini merupakan jurang masa yang besar antara janji dan penggenapan janji Tuhan. Seperti telur, doa juga tidak terus “menetas” tetapi kita harus menunggu rancangan Tuhan yang besar ke atas dunia dan kehidupan kita.