Kadangkala kita hanya akan memahami sesuatu hal sehingga kita mengalaminya sendiri. Semasa saya mengandung anak pertama, saya membaca banyak buku tentang kelahiran anak dan mendengar cerita daripada puluhan wanita tentang kesakitan yang dialami ketika bersalin. Tetapi saya masih tidak dapat membayangkan pengalaman tersebut. Tubuh saya seolah-olah akan menjalankan sesuatu tugas yang mustahil!
Paulus menulis dalam 1 Korintus bahawa kelahiran ke dalam Pemerintahan Tuhan, keselamatan yang ditawarkan Tuhan kepada kita melalui Kristus, semua ini nampaknya tidak dapat difahami orang yang belum mengalaminya. Ini kedengaran ‘bodoh’ untuk berkata bahawa keselamatan datang melalui kayu salib—kematian yang bercirikan kelemahan, kekalahan dan keaiban. Namun ‘kebodohan’ ini ialah keselamatan yang diisytiharkan oleh Paulus!
Semua ini pasti melampaui bayangan semua orang. Ada orang berfikir bahawa keselamatan akan datang melalui pemimpin politik yang kuat atau tanda mukjizat. Yang lain pula berfikir bahawa pencapaian mereka yang cemerlang dalam akademik atau falsafah akan menjadi keselamatan mereka (1 Korintus 1:22). Tetapi Tuhan mengejutkan semua orang dengan mengurniakan keselamatan melalui cara yang hanya akan dimengerti oleh mereka yang percaya dan mereka yang mengalaminya.
Tuhan mengambil sesuatu yang memalukan dan lemah—kematian pada kayu salib—dan menjadikannya dasar hikmah dan kuasa. Tuhan melakukan hal yang sukar dibayangkan. Dia sengaja memilih orang yang dianggap lemah dan bodoh di dunia ini untuk memalukan orang yang bijak (ayat 27). Penyelamatan Tuhan yang mengagumkan orang dan melampaui pengertian manusia selalunya adalah cara-Nya yang terbaik.