Beberapa banduan sedang mengutip sampah di tepi jalan untuk mengurangkan masa pemenjaraan mereka. Tiba-tiba pengawal penjara mereka, James, jatuh pengsan. Mereka bergegas untuk membantunya dan menyedari bahawa keadaannya agak cemas. Seorang banduan pun meminjam telefon James untuk membuat panggilan kecemasan. Jabatan polis kemudiannya berterima kasih kepada banduan tersebut kerana dia telah menolong pengawal mereka mendapatkan bantuan perubatan dengan segera pada waktu dia mengalami strok, sedangkan mereka boleh sahaja membiarkan penyelia itu, atau mengambil kesempatan untuk melarikan diri.

Kebaikan hati para banduan tersebut melalui tindakan mereka adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Paulus dan Silas ketika mereka dipenjarakan. Selepas baju mereka dikoyakkan, malah dipukul dan dimasukkan ke dalam penjara, gempa bumi yang sangat kuat telah berlaku sehingga rantai yang membelenggu mereka terlepas, dan engsel pada pintu-pintu penjara juga terbuka selepas goncangan yang kuat (Kisah Rasul-Rasul 16:23-26). Ketika penjaga penjara itu terjaga, dia terus menyangka bahawa para banduan telah melarikan diri, oleh itu dia ingin membunuh diri (untuk mengelakkan hukuman yang bakal menimpanya kerana membiarkan banduan terlepas). Itulah masanya Paulus berseru, “Kami semua masih di sini!” (ayat 28). Ketua penjara itu begitu tersentuh oleh tindakan mereka kerana mereka tidak melarikan diri seperti banduan-banduan lain. Hal ini menyebabkan dia menjadi hairan tentang Tuhan yang disembah mereka, dan akhirnya dia juga percaya kepada Yesus Kristus (ayat 29-34).

Cara kita memperlakukan orang lain menunjukkan apa yang kita percaya dan hargai. Apabila kita memilih untuk melakukan yang baik dan bukan kejahatan, tindakan kita mungkin akan mendorong orang lain tertanya-tanya tentang Tuhan yang kita kenal dan kasihi.