Selama beberapa dekad, London merupakan salah sebuah kota yang paling kosmopolitan di dunia. Pada tahun 1933, wartawan Glyn Roberts menulis tentang ibu kota England yang megah, “Saya masih berfikir bahawa komuniti orang yang terdiri daripada warna kulit dan bahasa yang beraneka merupakan perkara yang terbaik tentang London.” “Komuniti” itu masih nyata pada hari ini dengan campuran bau, bunyi dan pemandangan masyarakat global di sana. Keindahan kepelbagaian ialah sebahagian tarikan yang menakjubkan bagi salah sebuah kota raya terbesar di dunia.

Namun, seperti semua kota yang didiami manusia, London juga menghadapi masalah. Perubahan membawa cabaran. Budaya ada kalanya bertembung. Itulah salah satu sebabnya tiada kota yang dibina dengan tangan manusia dapat bertahan jika dibandingkan dengan keindahan rumah kekal kita.

Apabila rasul Yohanes dibawa ke dalam hadirat Tuhan, kepelbagaian ialah salah satu elemen penyembahan di syurga, seperti yang dinyanyikan oleh semua orang yang ditebus, “Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah. Engkau sudah menjadikan mereka imam yang mengabdi kepada Allah kita, dan memerintah di dunia” (Wahyu 5:9-10).

Bayangkan keadaan di syurga: semua kumpulan manusia di dunia merayakan keindahan kerana menjadi anak-anak Tuhan yang hidup—bersama-sama! Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, semoga kita merayakan kepelbagaian itu pada hari ini.