Ketika membuat satu projek bersama dengan rakannya Tim, Alvin menghadapi cabaran yang besar: dia dan Tim mempunyai idea yang sangat berbeza. Walaupun mereka menghormati pendapat sesama, pendekatan mereka begitu berbeza sehingga munculnya konflik. Namun sebelum konflik terjadi, kedua-dua mereka bersetuju untuk membincangkan perbezaan mereka dengan ketua mereka, yang kemudian mengatur mereka menyertai pasukan yang berbeza. Ini terbukti tindakan yang bijak. Pada hari itu, Alvin belajar pengajaran ini: Bersatu tidak selalu bermaksud melakukan perkara bersama-sama.

Abraham mungkin menyedari kebenaran ini apabila dia mencadangkan bahawa dia dan Lot berpisah di Betel (Kejadian 13:5-9). Oleh sebab melihat bahawa tiada cukup ruang untuk ternakan mereka masing-masing, Abraham dengan bijak mencadangkan mereka tinggal berasingan. Tetapi mula-mulanya, dia menekankan bahawa mereka “bersaudara” (ayat 8), mengingatkan Lot tentang hubungan mereka. Kemudian, dengan penuh kerendahan hati, dia membenarkan anak buahnya membuat pilihan terlebih dahulu (ayat 9), walaupun Abraham merupakan orang yang lebih tua. Seorang pastor menghuraikan kejadian ini sebagai “perpisahan yang harmoni.”

Oleh sebab kita diciptakan oleh Tuhan secara unik, kita mungkin mendapati bahawa kita ada kalanya bekerja dengan lebih baik secara berasingan untuk mencapai sasaran yang sama. Itulah kesatuan dalam kepelbagaian. Namun semoga kita tidak lupa, bahawa kita masih saudara dan saudari dalam keluarga Tuhan. Kita boleh melakukan hal dengan cara yang berbeza, tetapi kita tetap bersatu.