Apabila pembuat filem Wylie Overstreet menjemput orang asing melihat bulan secara langsung melalui teleskopnya yang istimewa, mereka kagum akan pemandangan yang begitu dekat, sambil berbisik dalam kekaguman. Apabila ditanyakan sebabnya untuk melihat pandangan yang begitu mempesonakan, Overstreet menjelaskan, “ini membuat kita berasa kagum bahawa ada sesuatu yang lebih besar daripada kita.”
Pemazmur Daud juga kagum akan terang Tuhan dari syurga. “Apabila aku melihat langit yang telah Engkau ciptakan, bulan dan bintang yang Engkau tempatkan, apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka? Mereka insan belaka, namun Engkau peliharakan mereka” (Mazmur 8:4-5).
Soalan-soalan Daud yang penuh kerendahan hati membuat kita menyedari bahawa selepas Tuhan menciptakan syurga dan bumi-Nya yang baru, kita tidak akan memerlukan bulan atau matahari lagi. Sebaliknya, seperti kata-kata rasul Yohanes, kemuliaan Tuhan yang berkilau akan membekalkan segala terang yang diperlukan. “Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Allah meneranginya, dan Anak Domba itu lampunya … tidak ada malam di situ” (Wahyu 21:23-25).
Inilah pemandangan yang luar biasa! Malah kita boleh mengalami terang syurga-Nya sekarang—hanya dengan mencari Kristus, Terang dunia. Menurut pandangan Overstreet, “Kita patut lebih kerap melihat ke langit.” Apabila kita melakukannya, semoga kita melihat Tuhan.