Setelah seorang budak lelaki menghadapi beberapa cabaran di sekolah, ayahnya mula mengajarnya satu ikrar untuk dilafazkannya setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. “Saya berterima kasih kepada Tuhan yang membangunkan saya pada pagi ini. Saya akan pergi ke sekolah supaya saya boleh belajar … dan menjadi seorang pemimpin mengikut rancangan Tuhan.” Melalui ikrar ini, ayah itu berharap untuk membantu anaknya teguh menghadapi cabaran-cabaran kehidupan yang tidak dapat dielakkannya.
Dengan membantu anaknya menghafal ikrar ini, ayahnya sedang melakukan sesuatu yang serupa dengan apa yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada orang Israel sewaktu di padang gurun: “Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu” (Ulangan 6:6–7).
Selepas mengembara di padang gurun selama 40 tahun, generasi Israel yang berikutnya akan masuk ke Tanah Perjanjian. Tuhan tahu bahawa tidak mudah bagi mereka untuk berjaya—kecuali mereka tetap fokus pada-Nya. Oleh itu, melalui Musa, Dia meminta mereka mengingati dan mentaati-Nya—dan membantu anak-anak mereka mengenal dan mengasihi Tuhan dengan mempercakapkan firman-Nya “semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja” (ayat 7).
Pada setiap hari yang baru, kita juga boleh mengabdikan diri untuk mengizinkan firman Tuhan membimbing hati dan minda kita ketika kita menjalani kehidupan yang bersyukur kepada-Nya.
Apakah yang boleh anda lakukan untuk menyimpan firman Tuhan dalam hati anda? Mengapakah pentingnya untuk membaca dan bercakap tentang firman Tuhan dengan orang yang kita sayangi?
Ya Tuhan, terima kasih kerana Engkau telah memberi kami setiap hari yang baru. Tolong aku menyimpan hikmah-Mu dalam hati dan minda saya.
Ulangan 6:4-9, yang dikenal sebagai
Shema, daripada perkataan Ibrani
šāmaʽ atau “dengar” (ayat.4, ATB), merupakan pengakuan dasar iman Yahudi yang dilafazkan oleh setiap orang Yahudi yang taat dua kali sehari untuk mengingatkan mereka tentang hukum Tuhan yang pertama dan kedua (Keluaran 20:2-6). Setelah memberikan “Sepuluh Hukum Allah” (Ulangan 5:1-21), Musa menyampaikan kepada umat Tuhan prinsip sepenuh hati yang mendasari seluruh Taurat: “Kasihilah TUHAN, Allah kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu” (6:5). Tuhan menuntut kesetiaan dan pengabdian kita yang penuh, mutlak, dan segenap hati. Yesus menegaskan bahawa mengasihi Tuhan dengan segala keberadaan kita adalah “perintah yang paling utama” (Markus 12:29-30), dan mengatakannya sebagai “Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!” (Matius 22:36-38). Kaum Yahudi Ortodoks melaksanakan perintah dalam Ulangan 6:8-9 secara harfiah, menempatkan sesetengah Taurat (seperti Shema atau Sepuluh Hukum) dalam kotak kecil (mezuzahs) dan menggantungkannya pada tiang pintu rumah atau dalam tefillin yang diikatkan pada lengan atau dahi mereka (Keluaran 13:9, 16; Ulangan 11:18-20).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)