Apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai “Papa John” mengetahui bahawa penyakit kansernya sudah mencapai peringkat terakhir, dia dan isterinya, Carol, merasakan panggilan Tuhan untuk berkongsi perjalanan mereka dalam talian ketika mereka berjuang melawan penyakit. Dengan mempercayai bahawa Tuhan akan bekerja melalui kelemahan mereka, pasangan ini menyiarkan saat-saat gembira, sedih dan kesakitan yang dilalui mereka selama 2 tahun.

Apabila Carol menulis suaminya “telah kembali ke dalam pangkuan Yesus yang penuh kasih,” beratus-ratus orang telah memberikan respons dengan berterima kasih kepada Carol atas keterbukaan mereka. Seorang berkata bahawa kematian dari sudut pandangan Kristian adalah sihat, kerana “kesemua kita akan mati” pada suatu hari nanti. Seorang lagi mengatakan walaupun dia tidak pernah bertemu dengan pasangan ini secara peribadi, dia sendiri telah menerima banyak dorongan melalui apa yang disaksikan mereka mengenai berharap pada Tuhan.

Walaupun Papa John kadangkala merasakan kesakitan, dia dan Carol akan berkongsi cerita mereka supaya mereka dapat memperlihatkan bagaimana Tuhan menopang mereka. Mereka tahu bahawa kesaksian mereka akan menghasilkan buah untuk Tuhan, dan mengulangi apa yang ditulis Paulus kepada Timotius ketika dia menderita, “… aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa Dia berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku sehingga Hari Kiamat” (2 Timotius 1:12).

Tuhan dapat memakai kematian orang yang dikasihi untuk menguatkan iman kita terhadap-Nya (dan iman orang lain) melalui rahmat yang kita terima dalam Kristus Yesus (ayat 9). Sekiranya anda mengalami kesengsaraan dan kesukaran, ketahuilah bahawa Dia boleh membawa penghiburan dan kedamaian.