Tom bekerja di sebuah firma guaman yang membekalkan perkhidmatan kepada syarikat Bob. Mereka pun menjadi kawan. Kemudian Tom mencuri ribuan dolar dari syarikat itu. Bob berasa kecewa dan marah apabila dia mengetahuinya. Tetapi dia menerima nasihat naib presidennya, seorang Kristian. Naib Presiden itu melihat Tom sangat malu dan insaf lalu menasihati Bob supaya tidak mendakwanya, melainkan mengupahnya sebagai pekerja. “Berikannya gaji yang berpatutan supaya dia boleh membayar ganti rugi. Anda akan mendapat seorang pekerja yang lebih bersyukur dan setia.” Bob mendengar nasihat tersebut dan Tom betul-betul menjadi pekerja yang setia.

Mefiboset, cucu Raja Saul, tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi dia berada dalam keadaan yang serba sukar ketika Daud menjadi raja. Kebanyakan raja baru akan membunuh keturunan bekas raja. Tetapi Daud mengasihi anak lelaki Saul iaitu Yonatan, dan memperlakukan anak Yonatan yang masih hidup seperti anaknya sendiri (lihat 2 Samuel 9:1-13). Rahmat yang ditunjukkannya membuat dia mendapat seorang sahabat seumur hidup. Mefiboset terkagum kerana “semua keluarga ayahanda hamba seharusnya dihukum mati oleh tuanku, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di istana” (19:28). Dia tetap setia terhadap Daud, walaupun ketika Absalom, anak Daud, mengejar Daud dari Yerusalem (2 Samuel 16:1-4; 19:24-30).

Adakah anda menginginkan seorang sahabat yang setia seumur hidup? Seseorang yang amat luar biasa mungkin akan menginginkan anda melakukan sesuatu yang luar biasa. Walaupun kita biasanya cenderung menjatuhkan hukuman ke atas orang yang berbuat salah, namun biarlah kita memilih untuk saling mengampuni. Kita boleh memastikan orang yang berbuat salah bertanggungjawab atas kesalahan mereka, tetapi kita juga memberi peluang kepada orang yang kelihatan tidak layak diampuni supaya mereka dapat melakukan perkara yang betul. Dengan ini, anda akan mendapat sahabat yang lebih bersyukur dan setia. Lakukanlah sesuatu yang tidak mengikut kebiasaan, dengan rahmat.