Tidak menghairankan apabila Ibu Teresa menerima Hadiah Keamanan Nobel. Sebenarnya, dia menerima anugerah itu kerana dia menjaga “orang lapar, orang telanjang, orang yang tiada tempat tinggal, orang buta, orang kusta, orang yang ditolak, tidak dikasihi dan dihina oleh masyarakat. Mereka adalah orang yang dilayaninya sepanjang hidupnya.
Yesus menunjukkan teladan bagaimana untuk menjaga dan mengasihi mereka yang diabaikan walau apa pun keadaannya. Tidak seperti pemimpin Rumah Tuhan yang lebih mengutamakan hukum hari Sabat daripada orang sakit (Lukas 13:14), ketika Yesus melihat seorang perempuan yang sakit di Rumah Tuhan, hati-Nya tergerak dengan belas kasihan. Dia tidak memandang kecacatan fizikal, melainkan melihat ciptaan Tuhan yang indah berada dalam belenggu. Maka Yesus memanggil perempuan itu dan menyembuhkannya. Dia “meletakkan tangan-Nya pada wanita itu dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak lalu memuji Allah” (ayat 13). Melalui tindakan ini, Dia membuat pemimpin Rumah Tuhan marah kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat. Yesus, Tuhan yang berkuasa atas hari Sabat (Lukas 6:5) dengan penuh belas kasihan telah memilih untuk menyembuhkan wanita itu yang bergelut dengan kesakitan dan penghinaan kira-kira selama 20 tahun.
Saya tertanya-tanya jika kita kerap melihat orang yang tidak layak menerima belas kasihan kita. Atau kita mungkin ditolak kerana kita tidak mencapai standard orang lain. Semoga kita tidak menjadi seperti pemimpin-pemimpin agama yang lebih mempedulikan peraturan daripada kebajikan sesama insan. Sebaliknya, mari kita mengikut teladan Yesus dan memperlakukan orang dengan belas kasihan, kasih dan hormat.
ILHAM
Hari Sabat merupakan topik yang sering menjadi perdebatan antara Yesus dan para pemimpin agama Yahudi. Orang Farisi berasa marah sama ada kerana Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat (Lukas 6:6-11; 13:10-17) atau pengikut-pengikut-Nya memetik dan memakan gandum pada hari tersebut (Matius 12:1-14). Yesus sering menentang orang Farisi mengenai hari Sabat dan memberikan ilham baru tentang makna hari Sabat yang sebenar.Yesus menyatakan kemunafikan orang Farisi dalam petikan hari ini tentang penyembuhan seorang perempuan yang bongkok. Mereka memperlakukan haiwan peliharaan mereka lebih baik daripada orang miskin di sekitar mereka. Yesus biasanya lebih mengutamakan harga diri orang yang dilayani Dia daripada hukum-hukum yang digubal oleh manusia yang mungkin dilanggar-Nya. Dengan ini, Yesus menunjukkan bahawa Dia memang Tuhan atas hari Sabat.