Semasa menghadiri persembahan muzik kanak-kanak, saya memperhatikan seorang guru dan pelajar bersiap sedia membuat persembahan piano secara duet. Sebelum persembahan bermula, guru itu tunduk dan membisikkan beberapa bimbingan terakhir. Apabila pelajar itu mula memainkan melodi yang sederhana, muzik iringan guru menambahkan lagi kekayaan dan kedalaman lagu itu. Pada hujung persembahan, guru itu mengangguk kepala sebagai tanda puas hati.
Hidup kita dalam Yesus lebih umpama persembahan duet daripada persembahan solo. Tetapi ada kalanya saya terlupa bahawa Dia “duduk di tepi saya” dan hanya kerana kuasa dan pimpinan-Nya saya dapat “memainkan muzik hidup saya”. Saya sendiri cuba memainkan not muzik yang betul—mentaati Tuhan dengan kekuatan sendiri tetapi akhirnya semua menjadi sia-sia. Saya cuba menangani masalah dengan kemampuan saya yang terhad, tetapi sering kali tidak berhasil.
Hadirat Guru saya membawa perbezaan. Apabila saya bersandar kepada Yesus sebagai penolong, saya mendapati hidup saya lebih memuliakan Tuhan. Saya melayani dan mengasihi dengan sukacita serta kagum akan berkat Tuhan ke atas hubungan saya dengan orang lain. Tepat seperti yang dikatakan Yesus kepada pengikut-pengikut awal-Nya, “Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (Yohanes 15:5).
Setiap hari kita berduet dengan Guru kita yang baik. Kasih kurnia dan kuasa-Nya menghasilkan melodi dalam kehidupan rohani kita.