Saya sangat marah dan sakit hati apabila seorang wanita memperlakukan saya dengan buruk, mempersalahkan dan bergosip tentang saya. Saya mahu semua orang tahu tentang kelakuan wanita itu dan melihat dia menderita seperti saya. Kemarahan saya mendidih sehingga bahagian pelipis saya pun sakit. Tetapi apabila saya mula berdoa supaya kesakitan itu hilang, Roh Kudus berbicara kepada saya. Mengapakah saya mahu membalas dendam sementara saya memohon pertolongan Tuhan? Jika saya percaya bahawa Dia memperhatikan saya, mengapa saya tidak mempercayai-Nya untuk menangani situasi ini? Setelah menyedari bahawa orang yang kesakitan cenderung menyakiti orang lain, saya berdoa kepada Tuhan agar saya mengampuni wanita itu dan berusaha berdamai dengan dia.

Pemazmur Daud mengalami kesukaran untuk mempercayai Tuhan sewaktu diperlakukan dengan tidak adil. Walaupun Daud berusaha menjadi hamba yang baik, tetapi raja Saul amat mencemburuinya dan mahu membunuhnya (1 Samuel 24:1-2). Daud menderita sementara Tuhan melaksanakan rancangan-Nya dan mempersiapkan Daud untuk menaiki takhta. Walaupun demikian, dia tetap memilih untuk menghormati Tuhan dan tidak membalas dendam (ayat 3-7). Dia berusaha untuk hidup berdamai dengan Saul dan menyerahkan kesudahan kepada Tuhan (ayat 8-22).

Apabila ada orang yang seakan-akan tidak menanggung akibat kesalahan, kita bergelut dengan ketidakadilan. Tetapi dengan belas kasihan Tuhan yang bekerja di hati kita, maka kita boleh mengampuni seperti Dia mengampuni kita serta menerima berkat-berkat-Nya.