Selama 29 tahun selepas Perang Dunia Ke-2 berakhir, Hiroo Onoda bersembunyi di hutan dan tidak mahu percaya bahawa negaranya telah menyerah kalah. Pemimpin tentera Jepun telah mengutus Onoda ke Pulau Lubang yang terpencil di Filipina dengan arahan untuk merisik Angkatan Tentera Bersekutu. Sekian lama selepas perjanjian damai ditandatangani dan peperangan sudah tamat, Onoda masih tinggal di situ. Pada tahun 1974, ketua pegawai Onoda pergi ke pulau itu untuk mencari dia dan meyakinkannya bahawa perang sudah berakhir.

Selama 30 tahun, Onoda hidup dalam keadaan terasing kerana dia tidak mahu menyerah kalah dan enggan percaya bahawa peperangan sudah berakhir. Kita juga boleh melakukan kesilapan yang sama. Paulus mengisytiharkan kebenaran yang menakjubkan bahawa “pada masa kita dibaptis, kita dipersatukan dengan Kristus Yesus” (Roma 6:3). Pada kayu salib, dengan cara yang penuh kuasa dan misteri, Yesus telah menghapus pembohongan Iblis, kengerian maut dan genggaman dosa yang kuat. Walaupun kita sudah “mati terhadap dosa” dan “hidup erat dengan Allah” (ayat 11), kita masih hidup seakan-akan kejahatan masih berkuasa. Kita menyerah kepada cubaan dan tunduk kepada godaan dosa. Kita mendengar pembohongan dan tidak mempercayai Yesus. Tetapi kita tidak perlu menyerah. Kita tidak perlu hidup dalam kepalsuan. Dengan rahmat Tuhan, kita boleh mempercayai kemenangan Kristus yang benar.

Walaupun kita masih bergelut dengan dosa, kita mendapat kebebasan apabila kita mengenal bahawa Yesus sudah memenangi peperangan. Semoga hidup kita mengisytiharkan kebenaran ini dalam kuasa-Nya.