Nora berbadan kecil, tetapi pandangan marah daripada Bridget yang setinggi 1.8 meter dan suka bergaduh itu tidak menakutkan Nora. Bridget sendiri tidak tahu sebabnya dia datang ke Pusat Jagaan Ibu Hamil walaupun dia sudah memutuskan untuk menggugurkan anak dalam kandungannya. Kemudian Nora mengajukan beberapa soalan dengan lembut, namun Bridget menjawabnya dengan kasar lalu pergi tanpa menyesali keputusan untuk menamatkan kehamilannya.
Dengan segera Nora berdiri di antara Bridget dan ruang pintu lalu bertanya, “Sebelum kamu pergi, bolehkah aku memeluk dan mendoakan kamu?” Tiada seorang pun pernah memeluknya sebelum ini dengan niat baik. Hal itu menyentuh hati Bridget dan membuat dia terharu sehingga menitiskan air mata.
Nora memperlihatkan hati Tuhan yang mengasihi umat-Nya Israel, “Aku selalu mengasihi kamu” (Yeremia 31:3). Umat Israel menghadapi kesukaran besar akibat pelanggaran mereka terhadap perintah Tuhan. Tetapi Tuhan berkata kepada mereka, “Aku akan menunjukkan bahawa Aku selalu mengasihi kamu. Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula” (ayat 3-4).
Pengalaman hidup Bridget adalah sangat rumit. (Demikian juga hidup kita.) Sebelum ini, dia percaya bahawa Tuhan dan pengikut-Nya akan menghakiminya, sehinggalah pada hari itu dia telah menerima kasih yang sebenar melalui Nora. Nora menunjukkan sesuatu yang berbeza, iaitu Tuhan tidak akan membiarkan dosa-dosa kita kerana kasih-Nya melebihi bayangan kita. Dia menyambut kita dengan tangan terbuka. Kita tidak perlu asyik melarikan diri.