Seorang wanita yang saya kenal ingin mengadakan satu acara di sebuah taman awam dan menjemput semua anak jirannya. Dia sangat teruja kerana berpeluang berkongsi imannya kepada mereka.
Dia mengajak 3 orang cucunya dan 2 pelajar sekolah menengah untuk membantu dalam persiapan, seperti menyediakan makanan, merancang beberapa permainan dan aktiviti, termasuklah menyampaikan cerita Alkitab tentang Yesus kepada kanak-kanak. Kemudian dia menunggu kedatangan mereka.
Hari pertama, tiada seorang pun yang muncul. Demikian juga pada hari kedua dan ketiga. Namun setiap hari kawan saya masih menjalankan aktiviti hari itu dengan cucu-cucu dan pembantunya.
Pada hari keempat, dia melihat satu keluarga sedang berkelah berdekatan tempat mereka, lalu dia menjemput anak-anak keluarga itu menyertai permainan. Seorang budak perempuan datang dan mendengar cerita tentang Yesus. Mungkin pada masa depan dia akan mengingati hari itu. Siapa yang tahu apakah hasilnya nanti? Dalam kitab Galatia, Tuhan mendorong kita, “Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang” (6:9-10).
Tidak perlu risau tentang jumlah hadirin atau tanda-tanda kejayaan yang kelihatan. Tugas kita adalah setia kepada kehendak Tuhan serta menyerahkan hasil kepada-Nya. Tuhan akan menentukan kesudahan.