Di laut lepas, seorang penyelamat sedang berusaha untuk menolong para perenang pertandingan triatlon yang panik. Dia berseru kepada para perenang, “Jangan pegang bahagian tengah kayak!” kerana ini akan menterbalikkan bot itu. Sebaliknya, dia mengarahkan perenang yang keletihan berpegang kuat pada bahagian depan kayak, supaya mereka dapat diberikan pelampung dan diselamatkan.
Apabila ancaman dalam hidup atau cabaran daripada orang hampir melemaskan kita, sebagai orang percaya, kita tahu bahawa kita memiliki Penyelamat. “TUHAN Raja berfirman, ‘Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku … Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu’ ” (Yehezkiel 34:11-12).
Nabi Yehezkiel meyakinkan umat Israel tentang penjagaan Tuhan semasa mereka berada dalam pembuangan. Pemimpin mereka telah mengabaikan, menindas dan merosakkan kehidupan mereka serta hanya “menjaga kepentingan diri sendiri, bukan kepentingan domba-domba-[Tuhan]” (ayat 8). Akibatnya umat Israel “tercerai-cerai di muka bumi. Tidak seorang pun mencari atau berusaha untuk mendapatkan domba-domba itu” (ayat 6).
Tetapi Tuhan berkata, “Aku akan menyelamatkan domba-domba itu” (ayat 10), dan janji-Nya adalah kekal.
Apakah yang perlu kita lakukan? Kita harus berpegang teguh kepada Tuhan Yang Maha Kuasa dan janji-janji-Nya. Dia berkata, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka” (ayat 11). Inilah janji keselamatan yang patut dipegang kuat.