Orang ramai suka membuat ‘sorakan ombak’. Dalam acara sukan dan konsert di seluruh dunia, sorakan ini bermula dengan beberapa orang berdiri dan mengangkat tangan. Kemudian yang duduk di sebelah membuat gerakan yang sama. Tujuannya adalah untuk membentuk satu gerakan susulan yang berpusing di seluruh stadium. Apabila sampai ke penghujung pusingan, mereka yang memulakan gerakan ini akan tersenyum dan bersorak. Seterusnya, gerakan ini berulang.

Sorakan ombak yang pertama berlaku sewaktu permainan besbol profesional antara pasukan Oakland Athletics dan New York Yankees pada tahun 1981. Saya suka mengambil bahagian dalam sorakan ombak tersebut kerana ini menyeronokkan. Tetapi ia juga mengingatkan saya bahawa kegembiraan dan kesatuan yang dialami semasa melakukannya mempunyai persamaan dengan Injil, iaitu berita baik tentang keselamatan dalam Yesus yang menyatukan orang percaya dengan pujian dan harapan. “Ombak teragung” ini bermula lebih daripada 2000 tahun yang lalu di Yerusalem. Semasa menulis surat kepada jemaah di Kolose, Paulus menjelaskan, “Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah” (Kolose 1:6). Hasil daripada berita baik ini adalah “harapan yang ada bagimu di syurga” (Kolose 1:5, AVB).

Ketika kita percaya kepada Yesus, kita menjadi sebahagian ombak yang terbesar dalam sejarah. Teruskan gerakan ini! Apabila sorakan ini selesai, kita akan melihat senyuman Tuhan yang memulakannya.