Sekiranya radio kapal Titanic tidak dimatikan, mereka pasti mengetahui bahawa kapal itu sedang tenggelam. Cyril Evans, operator radio dari kapal lain cuba menyampaikan amaran kepada Jack Phillips, iaitu operator radio kapal Titanic bahawa kapal mereka amat dekat dengan kawasan aisberg. Tetapi Phillips sibuk menyalurkan pesanan kepada penumpang-penumpangnya, dan dengan kasar menyuruh Evans untuk diam. Lalu Evans mematikan radionya dengan berat hati dan pergi tidur. 10 minit kemudian, kapal Titanic melanggar aisberg. Panggilan kecemasan mereka tidak terbalas kerana tiada sesiapa yang mendengarnya.
Dalam 1 Samuel, kita tahu bahawa imam-imam Israel keruntuhan akhlak, kehilangan penglihatan dan pendengaran rohani sehingga bangsa itu menuju bahaya. “Pada masa itu jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN” (1 Samuel 3:1). Tetapi Tuhan tetap mengasihi umat-Nya. Dia mula berbicara kepada Samuel yang dibesarkan di rumah TUHAN. Nama Samuel bermaksud “aku sudah memintanya daripada TUHAN” (1 Samuel 1:20), sempena jawapan Tuhan kepada doa ibunya. Tetapi Samuel perlu belajar bagaimana untuk mendengar suara Tuhan.
“Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar” (ayat 10). Peranan hamba ialah mendengar. Semoga kita juga memilih untuk mendengar dan mentaati firman Tuhan. Marilah kita menyerahkan hidup kepada Tuhan dan bersikap rendah hati seperti seorang hamba—yang sentiasa “menghidupkan radio” untuk mendengar.