Pada tahun 2013, James McConnell, seorang veteran Marin Diraja British yang berusia 70 tahun telah meninggal dunia. McConnell tidak mempunyai keluarga, dan kakitangan di rumah jagaannya bimbang tiada sesiapa akan menghadiri majlis pengebumiannya. Seorang lelaki yang ditugaskan untuk upacara memperingati McConnell menyiarkan mesej di Facebook yang berbunyi, “Pada zaman sekarang ini, cukup tragis bahawa sesiapa yang meninggalkan dunia ini tanpa orang meratapi pemergian mereka, tetapi James ialah keluarga kita. … kehadiran anda amat dihargai jika anda dapat memberi penghormatan kepada bekas tentera ini.” Seramai 200 Marin Diraja memenuhi bangku gereja!

Askar-askar Marin Diraja ini memperlihatkan kebenaran Alkitab bahawa kita terikat antara satu sama lain. “Tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya,” kata Paulus (1 Korintus 12:14). Kita tidak terpisah tetapi terikat dalam Yesus. Firman Tuhan mendedahkan hubungan yang saling berkaitan, “Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga” (ayat 26). Sebagai orang percaya dan ahli keluarga baru dalam Tuhan, kita bersama-sama menanggung kesakitan, kesedihan dan situasi yang membuat kita takut menghadapinya sendirian. Kita bersyukur kerana kita tidak keseorangan.

Mungkin penderitaan yang paling menyakitkan adalah ketika kita berasa tenggelam dalam kegelapan sendirian. Bagaimanapun, Tuhan mewujudkan komuniti baru yang menderita bersama-sama—tiada seorang pun harus ditinggalkan dalam kegelapan.