“Dialah orangnya! Dialah orangnya!” kata Brittany kepada rakan sekerjanya di restoran. Dia merujuk kepada Melvin, orang pertama yang memperkenalkan Yesus kepadanya sewaktu dia masih seorang pelacur. Sewaktu membersihkan halaman gereja, Roh Kudus mendorong Melvin bercakap dengan Brittany dan menjemputnya ke gereja. Brittany menjawab, “Adakah kamu tahu pekerjaan saya? Mereka pasti tidak mahu saya di gereja.” Ketika Melvin memberitahunya tentang kasih Yesus dan meyakinkannya tentang kuasa Yesus yang boleh mengubah hidupnya, dia mula menangis. Sekarang, beberapa minggu kemudian, Brittany bekerja di tempat baru sebagai saksi bagi kuasa Yesus yang mengubah kehidupan.

Dalam konteks mendorong orang beriman untuk giat dalam doa, rasul Paulus membuat permintaan ini, “Berdoalah juga bagi kami, supaya Allah memberi kami peluang baik untuk mengisytiharkan berita tentang rahsia Kristus. Kerana hal itulah, sekarang aku dipenjarakan. Berdoalah supaya aku dapat menyampaikan berita itu dengan sejelas-jelasnya, kerana hal itulah yang mesti aku lakukan” (Kolose 4:3-4).

Pernahkah anda berdoa agar berpeluang menyampaikan berita baik tentang Yesus dengan jelas dan berani? Inilah doa yang tepat! Doa sebegini boleh memimpin orang percaya seperti Melvin bercakap tentang Yesus di suatu tempat dan kepada orang yang tidak dijangka. Sewaktu menyampaikan berita baik tentang Yesus, mungkin ia membuat kita tidak selesa tetapi pahalanya amat besar kerana kehidupan seseorang akan berubah. Inilah caranya untuk mengimbangi ketidakselesaan kita.