Setelah ibu bapa saya meninggal, saya takut mereka akan melupakan saya. Ini kedengaran tidak masuk akal. Sudah tentu mereka tidak lagi berada di bumi, tetapi keadaan itu meninggalkan ketidakpastian yang besar dalam hati saya. Pada masa itu saya masih muda, belum berkahwin dan tertanya-tanya bagaimana menjalani kehidupan tanpa mereka. Oleh sebab saya berasa sangat sunyi dan sendirian, saya mencari Tuhan.

Pada suatu pagi, saya meluahkan ketakutan saya yang tidak rasional dan kesedihan yang saya alami kepada Tuhan (walaupun Dia sudah mengetahuinya). Ayat renungan yang saya baca ialah Yesaya 49:15 “Dapatkah seorang ibu melupakan bayinya … Sekalipun ibu melupakan anak, Aku tidak akan melupakan kamu.” Tuhan meyakinkan umat-Nya melalui Yesaya bahawa Dia tidak akan melupakan mereka dan kemudian berjanji untuk memulihkan mereka dengan mengutus Anak-Nya Yesus. Firman itu menyentuh hati saya. Jarang sekali ibu atau ayah melupakan anak mereka, tetapi ada kemungkinannya. Bagaimanakah dengan Tuhan? Dia tidak sekali-kali berbuat demikian. Dia berkata, “Aku telah melukiskan engkau di telapak tangan-Ku” (Yesaya 49:16, ATB).

Jawapan Tuhan kepada saya boleh menimbulkan lebih banyak ketakutan. Tetapi damai sejahtera yang diberikan-Nya kerana Dia mengingati saya, itulah yang amat saya perlukan. Ini adalah permulaan untuk mengetahui bahawa Tuhan lebih rapat berbanding ibu bapa atau sesiapapun. Dengan cara-Nya sendiri, Dia menolong kita dalam segala perkara termasuk ketakutan kita yang tidak rasional.