Dalam persiapan khutbah, kadangkala saya berasa tidak semangat pada pagi Ahad. Seminggu sebelumnya, saya merasakan diri saya bukanlah seorang suami, bapa atau rakan yang baik. Seolah-olah sebelum Tuhan boleh memakai saya seterusnya, saya perlu ada kesaksian hidup yang baik. Oleh itu, saya bertekad untuk menyediakan khutbah sebaik mungkin dan berusaha untuk hidup dengan lebih baik pada minggu yang akan datang.

Itu bukan cara yang betul. Galatia 3 mengatakan bahawa Tuhan terus memberi kita Roh-Nya untuk bekerja dengan penuh kuasa melalui kita tanpa syarat—bukan kerana kita telah melakukan apa-apa atau layak mendapatkannya.

Kehidupan Abraham menggambarkan hal ini. Ada masanya dia seorang suami yang gagal. Sebagai contoh, dia membahayakan nyawa Sarai sebanyak dua kali dengan berbohong demi menyelamatkan diri (Kejadian 12:10-20; 20:1-18). Tetapi kepercayaannya membuat dia “berbaik semula dengan Allah” (Galatia 3:6). Walaupun Abraham gagal, dia menyerahkan hidupnya kepada Tuhan dan Tuhan memakainya untuk membawa keselamatan kepada dunia melalui keturunannya.

Kita tidak harus mencari alasan untuk berkelakuan buruk. Yesus telah memberi kuasa kepada kita untuk mengikut-Nya dengan taat. Hati yang keras dan tidak bertaubat akan sentiasa menghalangi tujuan-Nya untuk kita, tetapi kehebatan-Nya untuk memakai kita tidak bergantung pada kelakuan baik yang berterusan. Ia bergantung semata-mata pada kerelaan Tuhan untuk bekerja melalui kita seadanya: yang diselamatkan dan bertumbuh dalam rahmat-Nya. Anda tidak perlu berusaha untuk mendapat rahmat-Nya kerana ia adalah percuma.