Baru-baru ini, saya menghadiri upacara penamatan sekolah menengah. Penceramah hari itu mencabar orang muda yang sedang menunggu sijil mereka. Dia mengatakan bahawa ini adalah masa dalam hidup mereka ketika semua orang akan mengajukan soalan seperti “Apakah seterusnya?” Apakah kerjaya yang akan diceburi mereka? Adakah mereka akan sambung belajar atau bekerja? Kemudian dia mengemukakan soalan yang lebih penting: Apakah yang dilakukan mereka sekarang?

Dalam konteks perjalanan iman mereka, apakah keputusan harian yang akan dibuat oleh mereka supaya dapat hidup untuk Yesus dan bukan untuk diri sendiri?

Kata-katanya mengingatkan saya tentang kitab Amsal yang membuat banyak kenyataan tentang cara untuk hidup sekarang. Contohnya mempraktikkan kejujuran (11:1), memilih rakan yang baik (12:26), hidup dengan integriti (13:6), membuat pertimbangan baik (13:15) dan bercakap dengan bijak (14:3).

Hidup untuk Tuhan sekarang, di bawah pimpinan Roh Kudus membantu kita mengambil keputusan tentang rancangan seterusnya dengan lebih mudah. “Tuhanlah yang memberikan hikmat; … Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur, … Dia melindungi orang yang berlaku adil, dan mengawal orang yang setia kepada-Nya” (2:6-8). Semoga Tuhan membekalkan apa yang kita perlukan untuk hidup menurut pedoman-Nya dan memimpin hidup kita demi kemuliaan-Nya.