Semasa menunggang kuda di Gurun Chihuahuan pada lewat 1800-an, Jim White, seorang koboi muda ternampak kepulan asap yang aneh naik ke langit. Dia menyangka mungkin berlaku kebakaran liar, lalu bergegas menuju ke tempat sumber api itu. Rupanya “asap” itu ialah kawanan kelawar besar yang terbang keluar dari lubang tanah. White telah menemukan Gua Carlsbad di New Mexico, iaitu gua yang sangat besar dan menakjubkan.

Ketika Musa menjaga domba di padang pasir Timur Tengah, dia juga melihat pemandangan aneh yang menarik perhatiannya iaitu semak yang menyala, tetapi tidak terbakar (Keluaran 3:2). Ketika Tuhan memanggil dia dari tengah semak itu, Musa menyedari bahawa dia telah menemui Tuhan yang jauh lebih hebat daripada fenomena tadi. Tuhan berkata kepada Musa, “Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham” (ayat 6). Tuhan akan membebaskan mereka daripada perhambaan dan menunjukkan identiti sebenar mereka sebagai umat-Nya (ayat 10).

Lebih daripada 600 tahun sebelumnya, Tuhan telah menjanjikan hal ini kepada Abraham, “Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi” (Kejadian 12:3). Pelarian orang Israel dari Mesir hanyalah satu langkah ke arah berkat tersebut, iaitu rancangan Tuhan untuk menyelamatkan umat-Nya melalui Kristus, keturunan Abraham.

Kita juga turut menikmati berkat tersebut kerana Tuhan menawarkan keselamatan ini kepada semua orang. Kristus mati kerana dosa kita. Kita juga menjadi anak-Nya apabila beriman dalam Tuhan yang hidup.