Pasukan tindak balas kecemasan menunjukkan dedikasi dan keberanian setiap hari dengan berada di barisan depan ketika tercetusnya bencana. Dalam serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York pada tahun 2001, ribuan orang terbunuh atau cedera, malah lebih daripada 400 pekerja kecemasan turut kehilangan nyawa. Sebagai penghormatan kepada mereka, Senat Amerika Syarikat mengisytiharkan 12 September sebagai Hari Dorongan Kebangsaan.
Walaupun ini kelihatan unik bagi sebuah kerajaan mengisytiharkan hari kebesaran, rasul Paulus menganggap dorongan juga diperlukan untuk pertumbuhan gereja. Dia menggesa jemaah yang masih baru di Tesalonika, sebuah kota di Makedonia, untuk “menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang” (1 Tesalonika 5:14). Walaupun mereka mengalami penganiayaan, Paulus mendorong mereka agar “harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang” (ayat 15). Dia tahu bahawa sebagai manusia, mereka mudah berputus asa, mementingkan diri dan terdedah kepada konflik. Tetapi dia juga tahu bahawa mereka tidak dapat menyokong satu sama lain tanpa kuasa dan pertolongan Tuhan.
Hal ini tidak berubah sehingga hari ini. Kita perlu didorong dan melakukan perkara yang sama kepada orang di sekeliling kita. Tetapi kita tidak dapat melakukannya dengan kekuatan kita. Itulah sebabnya Paulus mendorong bahawa “Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia” (ayat 24). Dengan pertolongan Tuhan, kita dapat saling mendorong setiap hari.