Buang masa sahaja, fikir Harley. Ejen insuransnya ingin bertemu lagi dengan dia. Harley tahu itu pasti sesi jualan insurans yang membosankan. Tetapi dia membuat keputusan untuk mengambil peluang itu bercakap tentang Yesus dengan ejen tersebut.
Harley memerhatikan bulu kening ejen itu yang bertatu dan dengan ragu-ragu dia bertanya mengenainya. Ejen itu menjawab bahawa tatu itu akan membawa tuah kepadanya. Pertanyaan Harley berisiko kerana dia mengalihkan topik kewangan, tetapi ia membuka peluang untuk berbicara tentang Yesus. Masa yang dianggap “terbuang” itu telah menjadi masa yang terindah dengan Tuhan.
Yesus juga mengambil risiko. Semasa dalam perjalanan dari Yudea ke Galilea, Dia berbual dengan seorang wanita Samaria. Ini satu perbualan yang mustahil bagi orang Yahudi. Lebih teruk lagi, wanita itu melakukan perzinaan dan dihina oleh orang Samaria yang lain. Tetapi perbualan Yesus dengan wanita itu akhirnya membawa keselamatan kepada ramai orang (Yohanes 4:1-26, 39-42).
Adakah anda bertemu dengan seseorang yang anda tidak ingin jumpa? Adakah anda selalu terserempak dengan jiran yang biasanya anda jauhi? Alkitab mengingatkan kita supaya sentiasa bersedia “baik masanya tepat atau tidak” untuk menyampaikan berita baik tentang Yesus (2 Timotius 4:2). Ambillah “risiko.” Mungkin pada hari ini Tuhan memberi anda peluang untuk berbual dengan seseorang tentang Dia!