Ketika anak lelaki dewasa saya menghadapi kesusahan, saya mengingatkannya tentang kasih dan pembekalan Tuhan semasa ayahnya kehilangan pekerjaan. Saya turut menceritakan bagaimana Tuhan memberikan kekuatan dan ketenangan kepada keluarga kami semasa ibu saya meninggal selepas bergelut dengan penyakit leukemia. Apabila merenungkan kisah kesetiaan Tuhan dalam Alkitab, saya yakin bahawa Dialah Tuhan yang menepati janji. Saya mengingatkan anak saya bahawa Tuhan ialah sumber kepercayaan kita pada masa senang dan susah. Sama ada kita bergelut atau bersorak kegembiraan, hadirat, kasih dan rahmat Tuhan adalah mencukupi.

Walaupun saya ingin mengatakan bahawa saya yang memulakan strategi pengukuhan iman ini, Tuhan yang sebenarnya membentukkan kebiasaan berkongsi cerita untuk menginspirasikan generasi akan datang supaya mereka percaya kepada-Nya. Ketika orang Israel mengingati segala perbuatan Tuhan yang ajaib, keyakinan telah diletakkan dalam hati mereka.

Orang Israel telah menyaksikan kesetiaan Tuhan dalam mengotakan janji-Nya semasa mereka mengikut-Nya (Ulangan 4:3-6). Dia selalu mendengar dan menjawab doa mereka (ayat 7). Sementara orang Israel bersukacita dan mengingat kembali kesetiaan Tuhan bersama generasi muda (ayat 9), mereka juga berkongsi firman Tuhan yang dikatakan dan dipelihara oleh satu-satunya Tuhan yang benar (ayat 10).

Apabila kita menceritakan keagungan, belas kasihan dan kasih Tuhan, keyakinan kita dan iman orang lain dapat diperkuat kerana Dia adalah Tuhan yang setia dan kekal.