Saya terkagum apabila melihat mangga yang tidak terkira, kebanyakannya terukir nama singkatan kekasih terpasang di setiap bahagian jambatan Pont des Arts di Paris. Jambatan pejalan kaki di seberang Sungai Seine dibanjiri simbol cinta ini yang mengisytiharkan kasih setiap pasangan yang “abadi”. Pada tahun 2014, mangga cinta yang dianggarkan seberat 50,000kg meruntuhkan sebahagian jambatan itu. Akibatnya, kesemua mangga itu perlu ditanggalkan.
Mangga cinta itu menunjukkan kerinduan kita sebagai manusia untuk memastikan cinta kita selamat dan terjamin. Kidung Agung dalam Perjanjian Lama menggambarkan dialog antara dua kekasih. Wanita itu menyatakan keinginannya akan jaminan cinta dengan meminta kekasihnya, “Jadikanlah aku buah hatimu; jangan peluk sesiapa pun selain aku” (Kidung Agung 8:6). Dia rindu akan cinta lelaki itu terhadapnya yang selamat dan terjamin seperti meterai yang dicap di hatinya atau cincin pada jarinya.
Kerinduan untuk cinta romantik yang berkekalan dalam Kidung Agung membawa kita kepada kebenaran dalam Perjanjian Baru, bahawa kita telah “dimaterai dengan Roh Kudus” (Efesus 1:13, AVB). Cinta manusia mudah berubah dan mangga dapat ditanggalkan dari jambatan, tetapi Roh Kristus yang tinggal di dalam kita adalah materai kekal yang menunjukkan kasih Tuhan yang komited dan tidak pernah berakhir terhadap anak-anak-Nya.
ILHAM
Sementara ada banyak terjemahan bagi Kidung Agung, kita dapat mentafsirkannya sebagai satu koleksi puisi-puisi yang meraikan kasih yang melahirkan hubungan intim serta memberi amaran bahawa orang harus memelihara kasih ini supaya ia tidak dirosakkan (2:15). Kidung Agung menyampaikan banyak puisi yang meluahkan keinginan rohani yang sebenarnya selari dengan cara Tuhan menciptakan kita pada masa penciptaan. Keinginan ini hanya dapat dipuaskan apabila “kedua-duanya menjadi satu” melalui hubungan perkahwinan yang ditentukan di Taman Eden.Adakah Kidung Agung mengatakan mengenai Tuhan dan hubungan kita dengan-Nya? Kita boleh menjawab "ya" terhadap soalan ini dengan penuh keyakinan apabila kita membaca kitab ini dalam konteks seluruh Alkitab, dan kita dapat kerap melihat perbandingan antara hubungan kita dengan Tuhan dan perkahwinan manusia. Rasul Paulus menggunakan perkahwinan manusia untuk menggambarkan hubungan jemaah dengan Yesus (Efesus 5:21-33), yang dikatakan sebagai “misteri yang besar.”