Jonathan tersekat-sekat ketika dia mengulangi janji perkahwinan kerana dia berasa dibebani oleh janjinya kepada LaShonne. Dia berfikir, Bagaimanakah mungkin saya membuat janji-janji ini dan tidak percaya bahawa saya dapat menepatinya? Akhirnya dia dapat melengkapkan majlis perkahwinan itu tetapi komitmen tersebut tetap membebaninya. Selepas majlis perkahwinan tamat, Jonathan membawa isterinya ke gereja dan berdoa lebih daripada 2 jam agar Tuhan menolong dia menepati janjinya untuk mengasihi dan menjaga LaShonne.

Ketakutan Jonathan pada hari perkahwinannya disebabkan oleh sifat manusia yang lemah. Tetapi Tuhan, yang berjanji untuk memberkati bangsa-bangsa melalui keturunan Abraham (Galatia 3:16), tidak dibatasi oleh perkara-perkara sedemikian. Untuk mencabar Kristian berbangsa Yahudi agar terus tabah dan sabar beriman dalam Yesus, penulis kitab Ibrani mengimbas kembali janji Tuhan kepada Abraham, kesabarannya menunggu dan melihat janji itu ahkirnya dipenuhi (Ibrani 6:13-15). Usia lanjut Abraham dan Sarah tidak menjadi penghalang bagi Tuhan dalam memenuhi janji-Nya untuk memberikan Abraham “keturunan yang banyak” (ayat 14).

Adakah anda berasa sukar untuk mempercayai Tuhan kerana anda seorang manusia yang lemah dan terhad? Adakah anda sedang bergelut menunaikan komitmen anda untuk memenuhi janji? Dalam 2 Korintus 12:9, Tuhan berjanji untuk menolong kita, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Selama lebih daripada 36 tahun, Tuhan menolong Jonathan dan LaShonne untuk tetap setia pada janji perkahwinan mereka. Mengapakah anda tidak mempercayai pertolongan-Nya?