Michael Yaconelli, seorang penulis satira lucu tinggal berdekatan dengan ladang ternak lembu. Dia mendapati bahawa lembu cenderung merayau ketika meragut rumput. Seekor lembu akan terus bergerak, sentiasa mencari “padang rumput yang lebih hijau”. Semasa lembu semakin menghampiri pagar ladang, lembu mungkin menemukan padang rumput yang segar di bawah pokok yang teduh. Di sebalik luar pagar yang rosak itu terdapat rumput yang enak. Lembu akan keluar dari pagar itu sehingga pergi ke jalan raya. Binatang ini akan perlahan-lahan “menggigit-gigit” rumput sepanjang jalan sehingga tersesat.

Ini tidak hanya berlaku pada lembu tetapi juga domba. Justeru itu, manusia juga mempunyai kecenderungan paling besar untuk menyimpang.

Mungkin itulah sebabnya Tuhan membandingkan kita dengan domba dalam Alkitab. Kita mudah menyimpang melalui kompromi dan keputusan yang bodoh. Kita tidak pernah menyedari betapa jauh kita telah menyimpang daripada kebenaran.

Tuhan menceritakan kisah domba yang hilang kepada orang Farisi. Domba itu sangat berharga kepada gembala domba sehingga dia meninggalkan domba-domba lain untuk pergi mencari yang hilang. Apabila dia menjumpai domba itu, dia amat gembira (Lukas 15:1-7).

Demikianlah kegembiraan Tuhan apabila anak-anak-Nya yang telah menyimpang kembali kepada-Nya. “Marilah kita bergembira! Dombaku yang hilang sudah aku jumpai semula!” (ayat 6). Tuhan mengutus Yesus ke dunia untuk menyelamatkan kita dan membawa kita pulang.