Saya terkagum apabila melihat mangga yang tidak terkira, kebanyakannya terukir nama singkatan kekasih terpasang di setiap bahagian jambatan Pont des Arts di Paris. Jambatan pejalan kaki di seberang Sungai Seine dibanjiri simbol cinta ini yang mengisytiharkan kasih setiap pasangan yang “abadi”. Pada tahun 2014, mangga cinta yang dianggarkan seberat 50,000kg meruntuhkan sebahagian jambatan itu. Akibatnya, kesemua mangga itu perlu ditanggalkan.

Mangga cinta itu menunjukkan kerinduan kita sebagai manusia untuk memastikan cinta kita selamat dan terjamin. Kidung Agung dalam Perjanjian Lama menggambarkan dialog antara dua kekasih. Wanita itu menyatakan keinginannya akan jaminan cinta dengan meminta kekasihnya, “Jadikanlah aku buah hatimu; jangan peluk sesiapa pun selain aku” (Kidung Agung 8:6). Dia rindu akan cinta lelaki itu terhadapnya yang selamat dan terjamin seperti meterai yang dicap di hatinya atau cincin pada jarinya.

Kerinduan untuk cinta romantik yang berkekalan dalam Kidung Agung membawa kita kepada kebenaran dalam Perjanjian Baru, bahawa kita telah “dimaterai dengan Roh Kudus” (Efesus 1:13, AVB). Cinta manusia mudah berubah dan mangga dapat ditanggalkan dari jambatan, tetapi Roh Kristus yang tinggal di dalam kita adalah materai kekal yang menunjukkan kasih Tuhan yang komited dan tidak pernah berakhir terhadap anak-anak-Nya.