Dalam salah satu kisah aneh yang ditulis oleh Dr Seuss, dia menceritakan dua watak, “Zax Ke Utara dan Zax Ke Selatan” yang melintasi padang rumput Prax. Apabila mereka bersemuka, kedua-dua Zax enggan memberi laluan. Zax pertama dengan kerasnya tidak mahu bergerak—bahkan sehingga “seluruh dunia tidak bergerak.” (Ironiknya, dunia terus bergerak dan lebuh raya dibina di sekitar mereka.)
Kisah ini menunjukkan gambaran yang benar mengenai sifat manusia walaupun kurang menyenangkan hati. Kita cenderung untuk mengganggap diri betul dan dengan degilnya berpegang teguh pada naluri itu, biarpun it membawa akibat yang dahsyat!
Syukurlah, Tuhan dengan penuh kasih rela untuk melembutkan hati manusia yang degil. Rasul Paulus tahu hakikat ini, oleh itu ketika dua anggota jemaah Filipi berkelahi, dia sanggup menegur mereka kerana dia sangat mengasihi mereka (Filipi 4:2). Kemudian, dengan ajaran kepada orang beriman sebelum ini bahawa orang percaya harus mempunyai “sikap yang sama” untuk menunjukkan kasih yang penuh pengorbanan seperti Kristus (2:5-8), Paulus meminta mereka untuk “menolong kedua-dua orang wanita itu” (4:3), rakan sepelayanan yang sangat dihargainya dalam perkerjaan berkongsi Injil. Ia seolah-olah suatu usaha bersama untuk mencapai perdamaian dan kompromi dengan bijaksana.
Sudah tentu ada masa untuk mengambil pendirian tegas, tetapi pendekatan yang serupa dengan Kristus akan kelihatan jauh berbeza daripada Zax yang tidak mengalah! Begitu banyak perkara dalam kehidupan yang usah diperjuangkan. Kita boleh saling menentang setiap perkara remeh sehingga kita “membinasakan satu sama lain” (Galatia 5:15). Atau kita boleh menelan keangkuhan kita, dan dengan ramah menerima nasihat yang bijak, serta mencapai kesatuan dengan saudara dan saudari kita.