Selama beberapa bulan yang lalu, saya berkirim-kiriman surat dengan seorang lelaki muda yang berfikir secara mendalam tentang imannya. Pada suatu ketika, dia menulis, “Kita hanya seorang insan yang sangat kecil dan hampir tidak kelihatan dalam garis masa sejarah. Adakah kita penting?”

Ini sama dengan pernyataan Musa, nabi Israel: “Usia kami … kehidupan segera berakhir dan kami pun lenyap” (Mazmur 90:10). Kependekan hidup boleh membawa kebimbangan dan menyebabkan kita tertanya-tanya jika kita penting.

Kita memang penting. Kita penting kerana kita sangat disayangi oleh Tuhan yang menciptakan kita. Dalam mazmur ini, Musa berdoa, “Puaskanlah kami dengan kasih-Mu” (ayat 14). Kita penting kerana kita penting bagi Tuhan.

Kita juga penting kerana kita dapat menunjukkan kasih Tuhan kepada orang lain. Walaupun hidup kita pendek, ia bukannya tidak bermakna jika kita meninggalkan warisan akan kasih Tuhan. Kita bukan hidup di sini untuk mengaut banyak wang dan bersara dengan hidup senang, melainkan “menunjukkan Tuhan” kepada orang lain dengan kasih-Nya.

Akhirnya, walaupun hidup di bumi ini sementara, kita adalah makhluk kekal. Kerana Yesus telah bangkit daripada kematian, kita akan hidup selama-lamanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Musa apabila dia memberi jaminan kepada kita bahawa Tuhan akan “memuaskan kita dengan kasih-Nya pada setiap pagi.” Pada “pagi” itu kita akan bangkit untuk hidup dan mengasihi serta dikasihi buat selama-lamanya. Jika itu tidak membawa apa-apa makna, apa lagi yang lebih bermakna?