Pernahkah anda melawan seekor naga? Jika anda menjawab “tidak”, penulis Eugene Peterson tidak bersetuju dengan anda. Dalam buku A Long Obedience in the Same Direction, dia menulis, “Naga adalah gambaran ketakutan kita, semua perkara ngeri yang mungkin menyakitkan kita … Kita hanya orang biasa yang mudah ditewaskan apabila berhadapan dengan naga agung.” Apakah maksud Peterson? Kehidupan kita dipenuhi dengan naga-naga: krisis kesihatan yang mengancam nyawa, kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, perkahwinan yang gagal dan hubungan renggang dengan anak. “Naga-naga” ini adalah bahaya yang amat besar dan kelemahan dalam hidup yang kita tidak berdaya untuk melawan seorang diri.
Tetapi dalam pertempuran itu, kita mempunyai seorang Sang Juara. Dia bukan juara dalam cerita dongeng, melainkan Sang Juara agung yang telah berperang untuk pihak kita dan menakluki naga yang cuba menghancurkan kita. Sama ada naga-naga itu berbentuk kegagalan kita atau musuh rohani yang ingin memusnahkan kita, Sang Juara kita yang lebih besar sebenarnya membolehkan Paulus menulis tentang Yesus, “Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya” (Kolose 2:15). Kuasa kemusnahan di dunia yang rosak ini tidak setanding dengan Dia!
Pada saat kita menyedari bahawa naga kehidupan adalah terlalu besar, inilah saat kita dapat berehat dalam penyelamatan Kristus. Kita dengan yakin dapat berkata, “Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita” (1 Korintus 15:57).